PUTRAJAYA, 14 Sept (Bernama) — Pemenang pingat emas pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro akan diundang sebagai penceramah pada program bimbingan usahawan Bahtera 2016 edisi utara di Sungai Petani, Kedah pada 8 dan 9 Oktober ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata cabaran yang diharungi atlet paralimpik negara sehingga mampu membawa pulang pingat emas patut dikongsi sebagai inspirasi.

“Kita akan cuba mendapatkan atlet paralimpik negara untuk berkongsi pengalaman bersama lebih 5,000 peserta yang dijangka hadir pada Bahtera 2016 edisi utara nanti,” katanya kepada pemberita selepas prapelancaran Bahtera 2016 edisi utara di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Sumber : Bernama