PUTRAJAYA: Program BAHTERA bukan saja menjadi pentas bagi melahirkan usahawan Bumiputera yang baharu, malah turut mengetengahkan cara dan model baharu perniagaan yang mampu bersaing pada peringkat global.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata aspirasi BAHTERA adalah bagi menjana peluang pekerjaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara melalui usaha niaga yang inovatif lagi mapan.

Beliau berkata, pada masa ini, pelbagai kemudahan disediakan bagi menggalakkan Bumiputera memulakan perniagaan, ditambah pula dengan kemajuan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

“Walaupun ramai dalam kalangan usahawan Bumiputera semakin berjaya memulakan perniagaan, kebanyakan mereka menghadapi kesukaran mendapatkan sumber pembiayaan dan modal,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran BAHTERA 2016 (Edisi Utara), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Unit Strategi Nasional (NSU), Dr Aminuddin Hassim; Ketua Pejabat Pembangunan Keusahawanan Nasional (NEDO), Mohd Zahrin Mohd Nor dan Penyelaras BAHTERA 2016 (Edisi Utara), Nadira Mohd Yusof.

BAHTERA adalah program yang disasarkan untuk membantu usahawan Bumiputera, yang diselaraskan Kementerian Kewangan melalui Pejabat NEDO. Program kali kedua yang akan berlangsung di Sungai Petani, Kedah pada 8 dan 9 Oktober ini dijangka membuka ruang kepada inisiatif bersama antara sektor swasta serta kerajaan pada peringkat tempatan dan nasional.

Irwan berkata, sumbangan usahawan Bumiputera terhadap ekonomi negara adalah ketara. Justeru, beliau berkata, dengan adanya usaha seperti BAHTERA, ia dapat melonjakkan potensi usahawan, sekali gus menjadi pemangkin ke arah melahirkan usahawan berjaya pada peringkat global. Katanya, usahawan baharu dan yang ingin menceburi bidang terbabit perlu merebut peluang daripada program yang akan diadakan supaya dapat membina perniagaan berskala tinggi serta mempunyai pelbagai sumber modal alternatif.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan daripada program terdahulu, Kementerian Kewangan bercadang memperluaskan program BAHTERA ke seluruh negara pada masa depan,” katanya.

Sumber : Berita Harian