JOHOR BAHRU, 15 Okt (Bernama) — Program Keusahawanan Bumiputera (BAHTERA) Edisi Selatan 2017 dilihat sebagai batu loncatan kepada usahawan di Johor untuk mengembangkan perniagaan, terutama bagi mereka yang mahu meluaskan lagi pasaran masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed berkata program ini turut memperlihatkan pelbagai jenis bantuan keusahawanan daripada kerajaan pusat.

“Banyak agensi kerajaan terlibat dalam program ini yang memberi tumpuan kepada cara membantu usahawan tempatan, seperti membuat tapisan dan penilaian bagi mngenal pasti bantuan yang bersesuaian dengan tahap perniagaan mereka,” katanya ketika ditemui BERNAMA pada majlis perasmian BAHTERA Edisi Selatan 2017 di sini hari ini.

Beliau berkata bagi kerajaan negeri, bantuan yang disalurkan adalah dalam bentuk kelas dan kursus usahawan digital, kursus penambahbaikan pengurusan perniagaan selain bantuan mesin perniagaan.

Sementara itu, usahawan yang ditemui rata-ratanya berpuas hati terhadap perkhidmatan yang ditawarkan menerusi program BAHTERA Edisi Selatan 2017.