JOHOR BAHRU, 15 Okt (Bernama) — Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada 27 Oktober ini akan lebih tertumpu kepada kesejahteraan rakyat, terutama dalam berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, selain memberi lebih banyak peluang kepada rakyat untuk menceburi bidang keusahawanan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata ini merupakan antara agenda utama kerajaan dalam membantu rakyat, dan pada masa yang sama memastikan ekonomi negara dapat terus berkembang.

“Perincian maklumat tersebut akan dijelaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2018, pada 27 Okt, namun apa yang saya boleh beritahu ialah bajet kali ini akan lebih tertumpu kepada kesejahteraan rakyat dalam berhadapan dengan kos sara diri dan cara kita mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.”

“Antara agenda utama bajet kali ini ialah keusahawanan, dengan kerajaan akan majukan syarikat-syarikat pemula niaga baharu, industri kecil dan sederhana dan banyak lagi. Jadi, banyak tumpuan akan diberikan kepada program berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Program Keusahawanan Bumiputera (BAHTERA) Edisi Selatan 2017 oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai BAHTERA, Mohd Irwan Serigar berkata program seumpama itu banyak melahirkan golongan usahawan, baik dari segi memulakan perniagaan malah meluaskan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.