JOHOR BAHRU: Bajet 2018 yang bakal dibentangkan, hujung bulan ini memberi tumpuan pada syarikat permulaan dan perusahaan kecil sederhana (PKS) untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata tumpuan terhadap syarikat permulaan dan PKS itu juga sebagai usaha kerajaan memberi fokus pada kos sara hidup.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai Bajet 2018, biarlah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sendiri yang umumkan, bagaimanapun bajet kali ini fokus pada kos sara hidup rakyat di negara ini.

“Ia turut menekankan bagaimana hendak mengekalkan pertumbuhan ekonomi dengan keusahawanan sebagai agenda utama, selain syarikat permulaan dan PKS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran program BAHTERA 2017 (Edisi Selatan) yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Program itu adalah penganjuran tahun ketiga selepas Kuala Lumpur pada 2015 dan Sungai Petani, Kedah pada tahun lalu, bertujuan menjadi landasan terbaik merapatkan jurang maklumat dalam kalangan usahawan.

Mohd Irwan berkata, ekonomi negara berada pada landasan yang betul dengan pertumbuhan yang baik dicatatkan, selain statistik menunjukkan Malaysia menikmati pertumbuhan ekonomi yang positif.

“Bagaimanapun, ada pihak tertentu yang memberi kesan yang salah, bahkan memaparkan imej buruk sehingga mendakwa Malaysia berada di ambang muflis. Rakyat Malaysia dapat melihat sendiri ekonomi bergerak ke arah lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan Johor sememangnya melihat kepentingan sektor keusahawanan terutama dalam kalangan orang muda di negeri itu dan atas kesedaran berkenaan pelbagai inisiatif dilakukan.

“Kerajaan negeri, antaranya akan membina sebuah lagi kemudahan seperti Kilang Bateri di Tampoi dalam usaha menggalakkan anak muda mempelopori perniagaan yang akan saya umumkan dalam Bajet Johor 2018 nanti,” katanya.