JOHOR BAHRU, 15 Okt. – Sektor keusahawanan akan terus diperkukuhkan di Johor kerana ia adalah teras utama pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negeri.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata sektor berkenaan adalah penting kerana Kerajaan Negeri tidak mahu kepesatan pembangunan Johor hanya bersandarkan kepada faktor fizikal dan sektor hartanah sahaja.

“Kita tidak mahu pertumbuhan di Johor hanya berkisar kepada sektor fizikal dan hartanah sahaja. Pertumbuhan ekonomi bukan melalui bangunan pencakar langit, kompleks membeli-belah dan sebagainya, tetapi pembangunan yang digerakkan oleh semua yang melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan perniagaan. Baik daripada yang sekecil-kecilnya hingga yang besar.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa pada akhirnya kepesatan pembangunan dan ekonomi Johor adalah berasaskan aktiviti keusahawanan. Jika Johor ingin kekalkan pertumbuhan ini, maka perlu dipastikan lebih banyak usahawan dapat dilahirkan, pada masa sama dapat meningkatkan keupayaan mereka yang telah menceburkan diri dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Bahtera : Bumiprenuers of Tomorrow edisi Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Program anjuran Kementerian Kewangan yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini itu bertujuan untuk meningkatkan pembangunan usahawan di kalangan Bumiputera.

Ujar beliau lagi, dalam memperkasakan usahawan di negeri ini, Kerajaan Negeri sudah melaksanakan pelbagai program termasuk dasar Keusahawanan Johor.

“Jadi saya menganggap program ini sebagai pelengkap kepada dasar dan aspirasi yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri iaitu apa yang kita panggil Keusahawanan Johor.

“Kita sedar bahawa Keusahawanan Johor merupakan strategi pertumbuhan Johor. Tetapi kita tidak boleh buat tanpa sokongan pelbagai pihak. Hari ini Kerajaan Pusat bersama-sama kita untuk menjayakan usaha kita ini, katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed.